Friday, 13 September 2013

DAKWAH KERANA ALLAH


Awak sudi jadi isteri kedua saya ?

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Zuhdi tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.


“Tak sangka awak sudah beristeri!


Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya.


Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.


Mata Zuhdi liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.




“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… ” Fatimah mula sebak.


“Tak. Maksud saya…” “Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar. “Awak nampak macam ‘alim, tapi sanggup menipu saya.


Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa? Saya rasa terhina tau” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.


Zuhdi diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini, seorang yang menjalani tarbiyah Islam sejak dari universiti lagi tapi ini jawapan yang diterima olehnya. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kelabu. Dalam hatinya, Zuhdi seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.


Zuhdi muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. “Ada hikmah,” bisik hati kecil Zuhdi, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Zuhdi sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya.


Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bagi. Itulah yang menjadi pegangannya sejak dia mengenali fikrah Islam semasa di tahun satu universiti kejuruteraan teknologi.


Dia amat bersyukur dan berterimakasih kepada Farhan kerana telah mengajaknya mengikuti program perkhemahan walaupun pada mulanya dia enggan. Matlamatnya pada mulanya ialah untuk menumpukan sepenuh masa dengan pelajaran kerana dia ingin berjaya dengan cemerlang. “Ikut dakwah pun boleh berjaya dengan cemerlang, malah boleh dapat “double“, ujar Farhan kepada Zuhdi. “Double? camne tu? tanya Zuhdi ingin tahu.


“Cemerlang di dunia, cemerlang di akhirat, cemerlang di dunia hanya sementara je, cemerlang di akhiratforever,” kata Farhan dengan penuh keyakinan terpancar di wajahnya yang berseri dek banyak beribadah.


Itulah kata-kata power daripada Farhan kepada Zuhdi sepuluh tahun yang lalu yang membuatkan hatinya tersentuh.


Seni dalam berdakwah.


Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan dakwah yang akan membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari akhirat nanti.


Keyakinan serta keaktifan Zuhdi berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Zuhdi dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan Islam yang dianutinya. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Zuhdi. Bagi Fatimah, Zuhdi seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Zuhdi melamarnya menjadi isteri kedua. Zuhdi masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Zuhdi tersebut. Bagi Fatimah, Zuhdi tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Zuhdi berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.


Zuhdi semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Zuhdi – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Zuhdi. Zuhdi takut dirinya akan menjadi futur disebabkan lamarannya ditolak oleh Fatimah. Sudah ramai sahabat-sahabatnya menjadi futur dek kerana mengejar kemewahan dunia – sibuk kerja sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang dai’.


Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Zuhdi dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Zuhdi sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?


Zuhdi bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak kerana dia belum mencubanya. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Zuhdi berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Zuhdi mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.


“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Zuhdi tanpa segan silu.


“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.


“Er, betul ke ni?” tergagap Zuhdi menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.


Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Zuhdi.


“Kenapa saya?” tanya Zuhdi ingin tahu.


“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.


“Baiklah,” jawab Zuhdi tersenyum.


Akhirnya, Zuhdi dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.


Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Zuhdi terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Zuhdi semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Zuhdi membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti robot. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Zuhdi. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.


“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.


“Ye sayang?” jawab Zuhdi sambil memandu.


“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.


“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Zuhdi menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.


“Ye ke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang. Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Zuhdi dalam gerak kerja dakwah.


Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Zuhdi yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Zuhdi aktif dalam dakwah sebelum ini.


“Kita dah sampai,” Zuhdi membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.


Zuhdi berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.


“Itu isteri pertama abang,” Zuhdi menuding jari ke arah khemah tersebut.


“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Zuhdi.


“Yang mana satu bang,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.


“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.


Zuhdi tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang


Isteri pertama abang adalah "Perjuangan dakwah"